Majlis Daerah Hulu Selangor menyeru kepada semua peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan di dalam kawasan pentadbiran MDHS agar sentiasa mematuhi tatacara prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Ini berikutan tinjauan dan pemantauan terhadap operasi Bazar Ramadan minggu pertama Ramadan ini mendapati rata-rata peniaga dan pengunjung masih tidak menitik beratkan langkah keselamatan dan tidak mengendahkan SOP yang perlu diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di Hulu Selangor.
Beberapa isu dikenalpasti melibatkan ketidakpatuhan SOP di Bazar Ramadan adalah seperti kegagalan pengunjung mendaftarkan aplikasi Mysejahtera/SELANGKAH dan merekodkan suhu dengan teratur. Pengunjung didapati mengambil mudah pendaftaran MySejahtera / SELANGKAH dan terdapat pengunjung yang tidak mengisi maklumat lengkap pada buku rekod yang disediakan sebagai alternatif rekod pengesanan kontak. Selain itu terdapat juga pengunjung yang tidak masuk dari laluan masuk utama dan mengelakkan diri dari mendaftarkan kehadiran di MySejahtera mahupun SELANGKAH.
Di kebanyakan kawasan Bazar Ramadan didapati terdapat pengunjung yang tidak peka dengan risiko jangkitan Covid-19 dengan membawa bayi mahupun kanak –kanak di bawah umur 12 tahun bersesak-sesak di Bazar Ramadan. Selain dari itu juga , terdapat peniaga bertindak mencantumkan gerai atau meja jualan yang mana SOP hanya membenarkan 2 orang pekerja bagi satu gerai.
Majlis Daerah Hulu Selangor akan meningkatkan lagi kawalan terhadap pematuhan SOP dan penguatkuasaan di tapak bazar supaya tidak wujud “kluster bazarâ€Â. Mulai 19 April 2021, arahan kepada semua peniaga dan pengunjung;
1. Hanya 2 orang dari 1 keluarga dibenarkan masuk
2. Kanak-kanak di bawah umur 12 Tahun tidak dibenarkan sama sekali masuk ke Bazar Ramadan
3. Tempoh masa hanya 30 minit bagi setiap pengunjung
4. Sistem no giliran digunakan bagi mengawal jumlah pengunjung dalam satu- satu masa.
Kebenaran operasi Bazar Ramadan perlu dihargai dan dimanfaatkan sebaiknya tanpa mengabaikan tatacara prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. SOP yang ketat perlu dipatuhi dan dilaksanakan.